
KUALA LUMPUR – Operator rangkaian Internet tanpa wayar berkelajuan 4G di bawah YTL Communications Sdn Bhd, Yes menyasarkan perluasan liputan sehingga 80 peratus dengan kawasan berpenduduk padat sebagai sasaran utama menjelang hujung tahun ini.
Pengarah Eksekutifnya, Datuk Yeoh Seok Hong berkata, sehingga kini kadar liputan Internet 4G di kawasan berpenduduk rantau ini hanya 65 peratus.Menurutnya, menyedari hakikat itu, langkah kolaborasi bersama pengeluar kereta nasional, Proton mampu merancakkan lagi pertumbuhan jenama itu.
“Melalui kolaborasi ini, Yes dan Proton akan memanfaatkan kepakaran masing-masing dengan memberi kemudahan teknologi baru, aplikasi dan perkhidmatan yang membolehkan kadar kelajuan sambungan Internet 4G pada model keluaran baru Proton pada masa akan datang.
“Yes adalah satu-satunya operator Internet tanpa wayar menawarkan rangkaian liputan sehingga 4G di lebuh raya utara selatan sepanjang 940 kilometer (km),” katanya pada majlis pelancarannya di Kuala Lumpur pada Selasa.
